Mengenai Kami

Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menubuhkan Pusat Internet untuk menyediakan pusat capaian jalur lebar secara kolektif di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan melalui Program Perkhidmatan Sejagat (USP).

Pusat Internet yang dahulu dikenali dengan nama Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) mempunyai peralatan IT dan komputer individu yang bersambung dengan capaian jalur lebar internet, membolehkan komuniti luar bandar menikmati kebaikan internet seperti yang dirasai oleh komuniti di bandar.

Untuk memastikan komuniti luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi, mendapat kebaikan daripada peralatan IT dan penyambungan internet, setiap Pusat Internet menyediakan latihan dan perisian komputer.

Melalui penubuhan Pusat Internet, diharapkan ia akan menyumbang ke arah kejayaan insiatif negara untuk merapatkan jurang digital antara komuniti luar bandar dan bandar, selaras dengan objektif yang digariskan di dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI).

Objektif



Sejarah

Kampung Bukit Kuang bukanlah satu nama asing di daerah Kemaman, Kampung ini bermula pembukaannya sekitar tahun 1700 lagi apabila seorang bangsawan Pahang iaitu Che Wan Teh membuka kawasan Kampung Bukit Kuang bersama pengikutnya kerana melarikan diri dari huru hara yang berlaku di Pahang pada masa itu. Tapi akibat ancaman lanun pada masa itu, Che Wan Teh membuka kampung yang jauh ke Tanjung Geliga. Kampung Bukit Kuang ditinggalkan kosong sehinggalah tahun 1940an dimana datangnya penghijrah yang merupakan para petani yang ingin tanah baharu bagi pertanian yang dikerjakan secara sara hidup mahupun berupa perniagaan. Dahulunya sebelum 1940an Kampung Bukit Kuang belum lagi mempunyai penduduk, waktu itu hanyalah sekadar menempatkan satu jalan menghubungkan Kemaman dengan daerah-daerah lain.

Asal-usul nama Bukit Kuang dikatakan diambil dari nama seekor burung yang bernama Kuang, menurut pendapat lain, perkataan Kuang diambil sempena pohon mengkuang yang tumbuh meliar dideretan bukit. Golongan pertama yang berhijrah ke Bukit Kuang adalah merupakan golongan petani, pada mulanya mereka tidak menetap di Bukit Kuang, tapi sekadar datang hanya untuk bercucuk tanam, tapi lama-kelamaan mereka membuat penempatan di situ. Selepas dari penghijrahan golongan petani, maka mula timbul minat nelayan untuk membina jeti-jeti hentian pendaratan ikan di Bukit Kuang. Pada tahun 1970an berlaku sekali lagi penghijrahan beramai-beramai dari Kampung Teluk Kuang kerana Kampung itu terpaksa ditutup bagi pembinaan perlabuhan bekalan kemaman. Sehubungan dengan itu, kajian ini dihasilkan bagi mencari faktor pembukaan Kampung Bukit Kuang serta perkembangannya dari beberapa aspek seperti ekonomi.



Berita & Aktiviti Terkini

TAHUN 2014 | TAHUN 2015 | TAHUN 2016 | TAHUN 2017


Program Pembersihan Kawasan Kampung, Tanah Perkuburan dan Masjid

24 Oktober 2014 | Aktiviti Terkini

Program ini telah diadakan pada 24 Oktober 2014. Program ini dianjurkan oleh Pejabat Agama Daerah Kemaman dan disokong oleh Pusat Internet 1 Malaysia bersama JKKK Bukit Kuang. Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk melahirkan generasi yang mengamalkan budaya kebersihan tidak kira di mana mereka berada. Program ini telah berjaya menarik minat ramai penduduk kampung dari pelbagai peringkat umur termasuklah kanak-kanak. Menerusi program ini, Kampung Bukit Kuang telah mendapat tempat kedua kampung terbersih di Daerah Kemaman. Acara sampingan program ini adalah cabutan bertuah yang ditaja oleh JKKK Bukit Kuang dan PI1M.


Program Sukaneka Merdeka

27 September 2014 | Aktiviti Terkini

Program Sukaneka Merdeka telah diadakan pada 27 September 2014. Program tersebut telah dijalankan di perkarangan Pusat Internet dan juga kawasan perkarangan Balairaya JKKK Bukit Kuang. Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk menanam sikap patriotik di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di samping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan penduduk kampung. Selain itu, melalui program tersebut, pengurus dan penolong pengurus Pusat Internet dapat beramah mesra bersama peserta-peserta yang hadir sambil menggalakkan mereka menjadi ahli di PI1M dan mendaftarkan diri untuk menyertai kelas ICT dan kelas keusahawanan yang diadakan pada setiap bulan.


Program Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidilfitri

15 Ogos 2014 | Aktiviti Terkini

Sempena Menyambut Hari Raya Aidilfitri, pihak Pusat Internet 1 Malaysia dan JKKK Bukit Kuang, Kemaman telah bersetuju untuk bersama-sama mengadakan Program Rumah Terbuka. Program tersebut telah berlangsung pada 15 Ogos 2014 dengan jayanya. Dianggarkan seramai 400 – 500 orang penduduk Kampung Bukit Kuang telah datang memeriahkan program tersebut dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Aktiviti sampingan semasa program tersebut dijalankan termasuklah pembahagian duit raya kepada kanak-kanak, karaoke dan bbq.


Majlis IKATAN PERPADUAN KG. BUKIT KUANG DAN PI1M

23 Mei 2014 | Berita Semasa

Program ini dijalankan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan penduduk kampung di samping memperkenalkan Pusat Internet 1 Malaysia kepada mereka untuk tujuan promosi terutama untuk menggalakkan mereka menyertai kelas ICT yang disediakan untuk pelbagai peringkat umur.


PROGRAM GOTONG-ROYONG BERSEPADU KG. BUKIT KUANG BERSAMA PI1M

28 April 2014 | Aktiviti Terkini

Program gotong royong ini telah diadakan pada 28 April 2014. program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk Kg. Bukit Kuang terutamanya dari golongan belia. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk melahirkan masyarakat yang sihat dengan adanya aktiviti luar disamping memupuk sikap tolong menolong antara satu sama lain. Selain itu, program ini juga dapat menarik minat penduduk kampung untuk mendaftar sebagai ahli di Pusat Internet 1 Malaysia Bukit Kuang.


sukaneka bahagian II

28 Mac 2014 | Aktiviti Terkini

Program Sukaneka ini diadakan buat kali kedua kerana sukaneka yang telah diadakan untuk kali pertama mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya dari pelajar-pelajar sekolah rendah. Dengan adanya program yang bercorak permainan, ini akan menarik minat golongan pelajar sekolah rendah menyertai program ini. Dengan adanya program ini, ramai ibu bapa membawa anak mereka ke Pusat Internet 1 Malaysia dan peluang ini diambil dengan sebaik mungkin bagi meyakinkan ibu bapa mendaftarkan anak mereka di sini sebagai ahli dan menggalakkan anak mereka menyertai latihan ICT yang diadakan pada hujung minggu dan cuti sekolah.


lagi berita & aktiviti